From:
Date: 06 Oct 1999
Time: 09:16:24
[kini-malaysia] Kini - Rabu
Cabaran Untuk Datuk Najib
Lancang sungguh mulut Datuk Seri Najib Tun Razak. Naib Presiden UMNO itu berkata “dakwaan arsenik satu pembohongan”. Sebelum kita berhujah bahawa dakwaan keracunan arsenik itu bukan satu perbohongan, elok kita mengajak Datuk Seri Najib mengimbas kembali kisah-kisah pembohongan dalam masa setahun terdekat ini.
Ketua Polis Negara Berbohong Pembohongan pertama: Sehari selepas bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ditahan pada malam 20 September 1998, para wartawan telah bertanya tentang keadaan Anwar Ibrahim kepada Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Rahim Noor. KPN waktu itu menjawab bahawa Anwar Ibrahim dalam keadaan sihat dan selamat. Dia berbohong. Selepas dia belasah Anwar separuh mati, dia berbohong dengan menyatakan Anwar sihat dan selamat! Sekarang satu dunia tahu Rahim Noor bercakap benar atau berbohong;
Perdana Menteri Juga Berbohong Pembohongan kedua: Apabila Anwar Ibrahim dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 29 September dan dia mengadu di mahkamah bahawa beliau diserang sehingga matanya cedera dan lebam. Apa kata Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad?
Mahathir berkata ada kemungkinan Anwar Ibrahim mencederakan dirinya sendiri. Mahathir berbohong. Ketika itu, Mahathir, yang menjadi Menteri Dalam Negeri, tahu Anwar telah dipukul oleh Rahim Noor. Sekarang seluruh rakyat Malaysia dan dunia tahu Perdana Menteri Malaysia yang keempat ini telah bercakap bohong.
Pembohongan Mahathir Yang Terbaru Pembohongan ketiga: Di London minggu lepas, Perdana Menteri mendedahkan kononnya Anwar Ibrahim tidak mengisytiharkan hartanya. Kemudian, pada 4 Oktober, Anwar mengeluarkan kenyataan medianya menyangkal tuduhan jahat Mahathir itu.
Anwar Ibrahim berkata secara rasmi bahawa sebenarnya dia telah mengisytiharkan hartanya kepada Mahathir. Ada surat hitam putih dihantar kepada Perdana Menteri berhubung soal pengisytiharan harta itu. Mahathis tidak dapat menjawab. Sekali lagi, siapa yang berbohong? Anwar atau Mahathir?
Tiga Pembohongan KPN dan PM Cukuplah tiga contoh pembohongan di atas. Satu dari Ketua Polis Negara dan yang dua lagi oleh Perdana Menteri. Inilah status yang ada di Malaysia waktu kini. Kita pernah ada seorang Ketua Polis Negara yang bercakap bohong. Kita juga ada seorang Perdana Menteri yang suka cakap bohong.
Ketua Polis Negara yang berbohong itu telah meletakkan jawatan dan sekarang sedang menunggu dibicarakan. Kalau dia tidak letak jawatan sekalipun, dia tetap dipaksa rakyat supaya meletakkan jawatan. Rakyat tidak mahu Ketua Polis Negara yang suka berbohong. Terselamatlah buat sementara Malaysia sekarang kerana Ketua Polis Negara yang berbuat bohong itu telah berhenti.
Bagaimana Dengan Mahathir Yang Berbohong? Tetapi bagaimana dengan Perdana Menteri yang masih ada sekarang yang jelas berbohong? Dia kena ikut jejak Rahim Noor juga. Elok sangat Mahathir meletakkan jawatan PM. Rakyat lebih-lebih lagi tidak mahu mempunyai seorang Perdana Menteri yang sering berbohong. Sebab kata pantun Melayu, "Siakap senohong, gelama ikan duri; Bercakap bohong, lama-lama mencuri".
Keracunan Arsenik Satu Pembohongan? Sekarang beralih kepada dakwaan Datuk Seri Najib, kononnya tuduhan mengenai keracunan arsenik itu satu pembohongan. Baiklah Datuk Najib. Kalau Datuk berani, mari kita selesaikan isu keracunan ini habis-habisan ke akar umbi secara telus, adil dan berani.
Kalau Datuk Najib berani, mari sambut desakan rakyat.
Datuk Najib mengepalai dari dalam UMNO dan kerajaan BN supaya satu Suruhanjaya Diraja yang bebas dibentuk sekarang juga supaya membuat siasatan "once and for all", bahawa sesungguhnya Anwar Ibrahim tidak mengalami keracunan arsenik. Datuk Seri Najib sanggup terima cabaran ini?
Rakyat Tidak Puas Hati Rakyat sebahagian besarnya tidak puas hati sekadar siasatan oleh pihak Polis. "Dah kena patuk sekali ular dalam lubang, rakyat tak mahu dipatuk buat dua kali". Dulu Peguam Negara arahakan Polis buat siasatan Anwar Ibrahim dipukul di dalam lokap polis Bukit Aman. Apa hasilnya? Selepas tiga bulan siasatan,, tak tahu siapa yang pukul Anwar.
Segala misteri hanya diketahui apabila satu Suruhanjaya Diraja dibentuk untuk menjalankan sisatan di mahkamah secara telus dan terbuka.
Datuk Najib berani desak Mahathir dan Abdullah Ahmad Badawi supaya Suruhanjaya Diraja seperti itu dibentuk kali ini untuk mengesahkan sesungguhnya Anwar tidak keracunan arsenik?
Pembohongan Terdedah Di Mahkamah Terbuka Pembohongan boleh dilihat terdedah di mahkamah seperti pembohongan Azizan Abu Bakar, saksi dalam kes Datuk Seri Anwar Ibrahim. Banyak lagi pembohongan, termasuklah bekas Pengarah Pasukan Cawangan Khas dan pegawai-pegawai tinggi polis yang dipanggil sebagai saksi dalam kes tersebut. Bukan saja pembohongan terserlah, tetapi macam-macam istilah yang menakutkan timbul seperti "turning-over", "solid-grip" dan sebagainya. Dalam mahkamah, orang yang berbohong sepatutnya terdedah belangnya.
Tetapi kenapa Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Ariffin Jaka tidak membenarkan peguam-peguam Anwar Ibrahim menyoal doktor-doktor Hospital UKM (HUKM) berhubung keputusan ujian ke atas Anwar Ibrahim? Kenapa pula pihak Peguam Negara tidak mahu Azizan Abu Bakar, saksi utama pendakwa dalam kes Anwar, menjelaskan tindakannya, yang kononnya ‘demi agama dan maruah’.
Pak Lah Juga Berbohong Seperti Datuk Seri Naib Tun Razak, kita semua juga tidak mahu pembohongan menjadi -jadi di Malaysia ini. Wabaknya sudah parah. Ketua Polis Negara berbohong. Perdana Menteri berbohong, malah Mr Clean, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi juga berbohong.
Bila Mr Clean itu berbohong? Beberapa minggu lalu, semasa Anwar terlantar sakit di HUKM, Abdullah Ahmad Badawi berkata Anwar tidak mahu memberi kerjasama kepada pihak penyiasat. Anwar tidak mahu memberi sampel air kencing, kuku, rambut dan darah untuk diuji. Apa yang dikatakan oleh Abdullah itu disiar dalam TV, radio dan akhbar. Yang duduk di sebelahnya sewaktu berkata demikian ialah Ketua Polis Negara yang baru, Tan Sri Norian Mai.
Apakah Norian Mai, KPN, Berbohong Juga? Abdullah Ahmad Badawi berkata begitu kononnya kerana dia diberi taklimat oleh Norian Mai. Nah! Ini satu lagi contoh pembohongan terbesar. Sama tarafnya macam pembohongan Rahim Noor dan Dr Mahathir Mohamad dalam kes mata lebam Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Datuk Najib kena tegur Abdullah Ahmad Badawi dan Norian Mai kerana berbohong. Kalau Anwar tidak beri kerjasama kepada pihak yang menyiasat, jadi kita mahu tanya Abdullah dan Norian Mai satu soalan. Soalannya ialah: hasil ujian HUKM datangnya dari sampel air kencing, kuku, darah dan rambut siapa? Kalau Anwar Ibrahim tidak beri kerjasama, dari mana datangnya sampel ujian - yang sekarang kononnya membuktikan Anwar tidak diracuni?
Anwar Beri Kerjasama Jelas Anwar Ibrahim telah memberikan kerjasama. Yang berbohong Timbalan Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi dan Norian Mai. Jadi masih tidak selamat lagi negara kita ini. Satu Ketua Polis Negara yang berbohong telah berhenti, tetapi digantikan oleh Ketua Polis Negara baru yang juga berbohong. Tak cukup dengan Dr Mahathir Mohamad yang berbohong, Mr Clean juga sudah tidak clean lagi kerana sudah pandai berbohong.
Cabar Datuk Najib Banteras Pembohongan Jadi untuk banteras pembohongan di peringkat tertinggi negara ini, maka marilah Datuk Seri Najib Tun Razak bersama-sama rakyat mendesak kerajaan supaya melakukan siasatan ke atas isu arsenik ini secara terbuka dan telus. Untuk itu, tidak ada formula lain yang lebih sesuai, melainkan tubuhkan segera Suruhanjaya Diraja yang bebas untuk menyiasat kes keracunan arsenik ini dari hujung hingga ke pangkalnya. Tidak ada siapa yang rugi. Berani kerana benar.
Tamat
Untuk menyertai senarai kami, sila hantar mesag kosong ke:
kini-malaysia-subscribe@egroups.com
Terima kasih atas kerjasama anda.
Pink Panther